Pengikut

Arkib Blog

Rabu, 7 Julai 2010

50,000 kakitangan awam kena tipu



KUALA LUMPUR: Cuepacs mendakwa lebih 50,000 kakitangan awam yang melabur dalam skim cepat kaya sejak beberapa tahun lalu kini bukan saja terpaksa menanggung kerugian besar, malah ada yang mengalami tekanan hidup akibat berhutang.

Ada segelintir kakitangan awam yang membuat pinjaman peribadi untuk tujuan pelaburan tetapi sukar membayar balik ansuran pinjaman. Lebih membimbangkan Cuepacs mendapat aduan ketua jabatan ada kakitangan awam kerap tidak hadir tugas kerana terpaksa membuat kerja sampingan sehingga lewat malam.
Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata pihaknya mendapat maklumat, ramai anggota sektor awam yang membuat pinjaman peribadi RM10,000 hingga RM30,000 dengan membuat pembayaran melalui potongan gaji.
“Sebilangan besar mereka memilih potongan gaji sehingga RM600 kononnya boleh menghabiskan tempoh pinjaman dalam tempoh singkat kerana mendapat keuntungan lumayan hasil pelaburan mereka dalam skim berkenaan.

“Mereka merasai keuntungan untuk tempoh setahun. Selepas itu, banyak menghadapi masalah apabila syarikat yang mereka labur mula lenyap atau memberhentikan operasi selepas diserbu pihak berkuasa. Ada antara kakitangan awam yang membuat pinjaman peribadi itu mempunyai tanggungan keluarga besar. Apabila pelaburan rugi besar, mereka hilang pendapatan tambahan,” katanya kepada Berita Harian.

Berita Harian difahamkan kerajaan juga sudah mengeluarkan pekeliling kepada semua kakitangan awam supaya berhati-hati dan tidak menyertai skim cepat kaya atau pelaburan tidak sah dan boleh dikenakan tindakan jika didapati bersalah.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat Bank Negara, Abu Hassan Alshari Yahaya, berkata bank pusat itu memandang serius mengenai perkara itu kerana sejak Januari tahun lalu, lapan kertas siasatan terhadap syarikat yang disyaki dibuka, membabitkan 150,000 pelabur dengan jumlah pelaburan mencecah RM300 juta.
Berdasarkan statistik dari 2003 hingga 2008, Bank Negara sudah menyiasat 23 buah syarikat skim cepat kaya membabitkan jumlah pelabur melebihi 400,000, membabitkan kutipan melebihi RM1.5 bilion.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan