Pengikut

Arkib Blog

Rabu, 7 Julai 2010

Ahli Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria meminta kerajaan menerapkan kaedah syarak yang adil dalam sistem amalan jualan langsung di tanah air supaya tidak terus menindas rakyat, khususnya umat Islam.

“Saya mencadangkan supaya diwujudkan suatu panel syariah atau penasihat diwujudkan di Kementerian (Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna – KDNHEP) dan diterapkan dalam syarikat-syarikat yang berasaskan jualan langsung,” jelas beliau petang tadi ketika menyambung perbahasan sesi petang di Dewan Rakyat berhubung pindaan Akta Jualan Langsung, 1993.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS Pusat berkata, sistem jualan langsung yang diamalkan oleh kebanyakan syarikat kebelakangan ini mengamalkan sistem perniagaan secara tidak adil.

Menurutnya lagi, sistem piramid  ‘siapa yang masuk dulu, dia untung’ sebenarnya hanya menguntungkan golongan atasan tertentu sahaja.

Tambahnya lagi, agen-agen jualan langsung bawahan terpaksa bekerja keras untuk terus hidup dalam sistem tersebut berbekalkan motivasi tertentu oleh agen di atas mereka.

Selain meminta akta yang bakal digubal itu supaya selari dengan syarak, beliau juga mencadangkan kementerian berkenaan supaya mengeluarkan suatu garis panduan yang jelas untuk para pemilik syarikat jualan langsung terbabit.

Tidak cukup dengan itu, beliau turut menggesa pihak berwajib membuat pemantauan menyeluruh ke atas syarikat serta penggiat jualan langsung di tanah air supaya rakyat tidak dikecewakan dengan sistem yang mengelirukan itu.

Bagi Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa pula, jualan langsung yang tidak berasaskan pada menjual produk halal merupakan suatu ‘permainan duit’ yang nyata tidak beretika serta haram di sisi syarak.

Ujarnya lagi, sepatutnya kerajaan perlu memandang serius fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum ini yang menegaskan bahawa jualan langsung yang tidak berasaskan produk umumnya adalah haram.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya mana-mana syarikat yang mahu memulakan aktiviti jualan langsung, mereka diwajib mendapatkan pengesahan dari panel penasihat syariah berwajib terlebih dahulu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan