Pengikut

Arkib Blog

Rabu, 7 Julai 2010

Artis Ejen MLM Haram

Beberapa selebriti termasuk artis terkenal antara sekelompok ‘usahawan’ yang disiasat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) kerana disyaki terbabit aktiviti jualan langsung tanpa lesen dan merekrut ‘downline’ mengikut sistem pemasaran berperingkat (MLM).
Setakat ini, KPDNKK tidak menolak kemungkinan ada antara selebriti merekrut orang ramai untuk menjadi ejen MLM tanpa lesen jualan langsung dan usaha mengenal pasti mereka dijalankan.
Tanpa menyebut nama artis yang disiasat, Ketua Pengarah Penguatkuasaan KPDNKK, Mohd Roslan Mahayudin, berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa saja termasuk artis atau golongan ternama yang melanggar undang-undang tanpa mengira status mereka.

“Kami meneliti beberapa artis terkenal yang menjalankan perniagaan sebegini walaupun ada antara mereka hanya menjadi duta produk.

“Dilantik sebagai duta bukan satu kesalahan, tapi apabila dia mula merekrut orang lain untuk menjadi wakil jualan produk syarikat diwakilinya tanpa lesen, tindakan tegas mengikut Akta Jualan Langsung 1993 boleh diambil,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Beliau berkata, akta itu memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan bagi orang perseorangan manakala syarikat boleh didenda maksimum RM250,000.

“Apabila ejen jualan langsung berlesen mendekati orang ramai untuk menjual produk, mereka perlu menunjukkan kad yang tertera maklumat syarikat, diri dan nombor lesen, masa jualan pula hanya jam 9 pagi hingga 6 petang pada hari bekerja kecuali sudah membuat temu janji pada waktu lain.

“Mereka juga tidak boleh memungut wang ketika itu dan hanya boleh mengambil tempahan selain pembeli diberi 10 hari ‘bertenang’ sama ada mahu membeli produk itu atau membatalkan pembelian,” katanya.

Menurutnya, akta itu diwujudkan bagi melindungi pengguna kerana sebelum 1993 terdapat banyak kes penipuan apabila produk dipesan tidak sampai walaupun wang sudah dibayar.

Dalam pada itu, beliau berkata, KPDNKK turut menyiasat beberapa syarikat kosmetik dan kecantikan yang menyiarkan iklan mengelirukan orang ramai.

“Misalnya mereka memaparkan dua individu berbeza, namun mendakwa pengguna itu orang sama dan mengalami perubahan selepas menggunakan produk mereka.

“Tindakan ini mengelirukan pengguna dan tindakan boleh diambil mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Perihal Dagangan 1972,” katanya.

Menurutnya, walaupun pihak penguat kuasa berdepan kesukaran mengesan individu yang digunakan sebagai testimoni produk berdasarkan gambar mereka, siasatan tetap dilakukan bagi melindungi kepentingan pengguna.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan