Pengikut

Arkib Blog

Rabu, 7 Julai 2010

Dedah Pelbagai Penipuan

Jenayah komersial yang semakin menjadi-jadi dengan memperdayakan orang ramai termasuk golongan terkenal seperti artis sebagai mangsa pelaburan haram, mendorong Bank Negara Malaysia (BNM) mewujudkan satu laman web khas bagi memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kewujudan penipuan terbabit. Melalui wujudnya laman web http://fraudalert.bnm.gov.my, BNM memberi amaran serta keterangan terperinci mengenai jenis penipuan jenayah komersial dan cara untuk mengelak menjadi satu daripada ribuan orang yang sudah menjadi mangsa hingga kerugian berjuta ringgit.
Menurut laman web itu, penipuan komersial selalunya membabitkan transaksi wang yang rumit didalangi penjenayah ‘kolar putih’ seperti ahli perniagaan profesional dengan pengetahuan khusus dan niat jenayah, misalnya broker pelaburan tidak bertanggungjawab kemungkinan mengajak pelanggannya membeli saham dalam sesebuah syarikat yang bernilai tinggi.


Ia turut menyenaraikan pelbagai jenis penipuan dan bagaimana seseorang itu dapat mengenal pasti tipu helah pihak tidak bertanggungjawab untuk merompak wang mereka secara licik.


Orang ramai juga diingatkan bahawa penjenayah komersial boleh menghubungi mereka menggunakan pelbagai cara, antaranya secara bersemuka, pos, panggilan telefon, SMS dan emel.


Menurut laman web berkenaan, masyarakat perlu sedar bahawa skim cepat kaya yang sering menipu orang ramai, selalunya menawarkan kadar pulangan terlalu tinggi dan tidak realistik daripada pelaburan yang dibuat selain pada masa sama menjanjikan pelaburan mudah dan bebas risiko.


Menurutnya, aktiviti kewangan yang ditegah mengikut peruntukan undang-undang ditadbir BNM adalah pengambilan deposit tanpa lesen, skim pelaburan Internet tanpa lesen, skim perdagangan mata wang asing secara haram, pengeluaran wang tanpa kebenaran, penggunaan kad kredit atau debit tanpa kebenaran dan penyalahgunaan nama serta kedudukan kakitangan kanan BNM.


Orang ramai juga boleh membuat semakan di laman web itu yang memaparkan senarai syarikat dan individu yang sudah dicaj, dibicarakan dan dihukum atas kesalahan menjalankan pelbagai aktiviti kewangan tanpa lesen mengikut peruntukan undang-undang BNM.


Menurut laman web itu, mangsa penipuan pelaburan haram dinasihatkan untuk membuat laporan polis dan agensi penguatkuasaan berkaitan, menyimpan semua rekod dan dokumen mengenai pelaburan termasuk slip bank, slip deposit, perjanjian, baucer serta maklumat mengenai individu yang menjalankan urus niaga itu.


Semua maklumat boleh digunakan bagi tujuan penguatkuasaan dan mengambil tindakan terhadap individu atau syarikat yang menyelewengkan duit mangsa.


Bagi mereka yang menjadi mangsa atau mempunyai sebarang maklumat mengenai pelaburan dan skim haram boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan BNM di talian BNMTELELINK (1-300-88-5465) atau faks ke 03-21741515 atau SMS ke 15888 dengan menaip BNM TANYA [aduan / pertanyaan] atau emel ke bnmtelelink@bnm.gov.my ; Orang ramai boleh membuat aduan di BNMLINK dengan datang sendiri ke Tingkat Bawah, Blok D, Bank Negara Malaysia, Jalan Dato Onn, 50480 Kuala Lumpur bermula jam 9 pagi hingga 5 petang dari Isnin hingga Jumaat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan