Pengikut

Arkib Blog

Rabu, 7 Julai 2010

Denda Antara RM1 juta Hingga RM10 juta



PUTRAJAYA: Syarikat yang didapati terbabit dalam perniagaan skim piramid atau skim cepat kaya boleh dikenakan denda antara RM1 juta hingga RM10 juta bagi kesalahan pertama selepas pindaan Akta Jualan Langsung 1993, dikuatkuasakan awal tahun depan.

Pengarah Bahagian Perdagangan Dalam Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Ismail Ahmad, berkata mengikut pindaan itu, syarikat yang terbabit dalam kesalahan kedua pula boleh dikenakan antara RM10 juta hingga RM50 juta.
Beliau berkata, bagi individu yang terbabit dengan kegiatan itu, boleh dikenakan denda antara RM500,000 hingga RM5 juta atau lima tahun penjara atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama dan denda RM1 juta hingga RM10 juta atau 10 tahun penjara atau kedua-duanya bagi kesalahan kedua.
Dalam akta sedia ada, denda maksimum yang boleh dikenakan terhadap individu ialah RM250,000, manakala RM500,000 bagi syarikat.
Beliau berkata, pindaan akta itu yang dijangka dikuatkuasakan awal tahun depan dalam usaha kerajaan membanteras kegiatan itu di negara ini, turut meningkatkan hukuman terhadap syarikat jualan langsung yang menjalankan operasi tanpa lesen iaitu denda RM1 juta bagi syarikat yang didapati bersalah bagi kesalahan pertama dan RM2 juta bagi kesalahan kedua.

Bagi individu pula boleh dikenakan denda RM250,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama manakala denda RM500,000 atau 10 tahun penjara atau kedua-duanya bagi kesalahan kedua.

“Pindaan itu adalah juga untuk mengelakkan syarikat jualan langsung mewujudkan perniagaan menyerupai skim cepat kaya atau skim piramid. Ia juga bagi memastikan syarikat terbabit tidak mengeksploitasi jenis perniagaan jualan langsung seperti yang sering dilakukan oleh sesetengah syarikat.
“Hukuman yang lebih berat perlu dilakukan berikutan tindakan syarikat tidak bertanggungjawab ini menyebabkan persepsi buruk masyarakat terhadap syarikat jualan langsung lain sedangkan kerajaan mahu menjadikan jualan langsung ini satu bentuk sumber ekonomi baru negara,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau berkata, persepsi negatif masyarakat terhadap jualan langsung juga menyebabkan perolehan keseluruhan industri itu menurun sejak 2007 lalu.

“Ini adalah antara sebab kita mahu mengadakan semula Konvensyen dan Ekspo Jualan Langsung 2010 yang kali terakhir diadakan pada 2006.

“Kerajaan mahu orang ramai mengetahui apa sebenarnya syarikat jualan langsung supaya mereka memahami dan tidak lagi tertipu dengan pihak yang mendakwa melaksanakan jualan langsung tetapi menjalankan skim piramid atau gores dan menang,” katanya.

Ismail berkata, 389 syarikat jualan langsung didapati melakukan kesalahan termasuk skim cepat kaya sejak 2006 sehingga Februari lalu dengan jumlah rampasan bernilai RM10.14 juta.

Katanya, bagi kes gores dan menang, sebanyak 197 kes dikesan dari 2006 hingga Mei tahun ini dengan jumlah rampasan berjumlah RM6.53 juta.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan