Pengikut

Arkib Blog

Sabtu, 31 Julai 2010

Wanita dalang sindiket cepat kaya dikenal pas

Wanita dalang sindiket cepat kaya dikenal pasti
Oleh Mohd Iskandar Ibrahim

2010/07/30

KUALA LUMPUR: Sindiket skim cepat kaya yang ditumpaskan polis di Mentari Court, Bandar Sunway, malam Selasa lalu, didalangi seorang wanita berusia 20-an yang dikatakan memperoleh kekayaan melebihi RM10 juta sejak tiga tahun lalu.

Difahamkan, suspek wanita itu adalah ahli serpihan sebuah syarikat jualan langsung (MLM) lain yang diharamkan pada akhir tahun lalu kerana menjalankan pelan pemasaran berbentuk skim piramid.

Suspek dipercayai menjadikan asetnya seperti kereta dan kediaman mewahnya sebagai umpan bagi mempengaruhi mangsa selain memberi motivasi kepada ‘downline’ untuk menambah ahli skim berkenaan.
Selain kereta dan kediaman mewah, suspek dikatakan turut menjanjikan percutian ke luar negara sebagai imbuhan kepada mereka yang berjaya mengutip wang pelaburan melebihi kuota ditetapkan.

Ketua Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa, berkata polis sudah mengenal pasti suspek itu dan pergerakannya sedang dipantau.

“Siasatan sedang dijalankan, bagaimanapun kita tidak akan bertindak terburu-buru. Kita akan mengumpul bukti yang secukupnya sebelum tindakan lanjut diambil.

“Suspek turut menggunakan laman sosial dan laman sembang untuk menarik perhatian orang ramai kononnya mereka yang memasuki skim itu mampu meraih pendapatan tinggi dalam tempoh singkat,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Selasa lalu, polis menumpaskan sindiket skim itu yang menyasarkan golongan muda berikutan penahanan 100 orang dalam serbuan di empat restoran di Mentari Court, Bandar Sunway dekat sini.

Dalam serbuan jam 11 malam itu, polis turut merampas 17 kereta mewah termasuk Mercedes-Benz, Nissan Fair Lady, BMW dan Mazda yang dijadikan umpan untuk menarik orang ramai menyertai skim itu.

Seratus ‘upline’ skim itu yang berusia 20 hingga 30-an ditahan ketika mengadakan pertemuan di restoran berkenaan dan daripada jumlah itu 50 lelaki dan sembilan wanita direman mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, sindiket itu menawarkan skim pelaburan antara RM2,000 hingga RM41,000 dengan ahli disyaratkan mencari 10 ‘downline’ bagi mendapatkan pulangan modal, selain keuntungan lumayan setiap bulan.

Mengulas lanjut, Rohaimi berkata, tempoh reman semua suspek berakhir hari ini, namun siasatan terhadap mereka akan diteruskan.

2 ulasan:

  1. muka aje cantik..tp penyangak..penipu hidup2!!

    BalasPadam
  2. konfirm geng one team nih..markas diorg kt situ..

    BalasPadam