Pengikut

Arkib Blog

Sabtu, 31 Julai 2010

Wanita rugi RM1.2j labur dalam firma antarabangsa



Wanita rugi RM1.2j labur dalam firma antarabangsaOleh Mohd Roji Kawi, Suzan Ahmad, Hafizah Iszahanid dan Adli Shahar
bminggu@bharian.com.my
2010/08/01

Ada MLM jalankan kegiatan menjurus kepada skim cepat kaya 

KUALA LUMPUR: Seorang usahawan wanita mendakwa rugi lebih RM1 juta dalam masa setahun gara-gara melabur dalam sebuah syarikat antarabangsa, kononnya memberi keuntungan berlipat ganda.
Mangsa dari Kuching berusia awal 40-an yang enggan mendedahkan identitinya, berkata pada mulanya beliau yakin pelaburan dalam syarikat yang mendakwa menjalankan perniagaan hartanah itu akan memberi pulangan lumayan.
Bagaimanapun, akhirnya beliau menyedari menjadi mangsa penipuan apabila wang yang dilaburnya itu ‘hangus’ dan syarikat terbabit dikatakan tidak wujud lagi. 

“Saya diminta memasukkan wang ke dalam akaun syarikat berkenaan setiap tiga bulan, sepanjang tahun lalu. Disebabkan yakin, saya meningkatkan jumlah pelaburan sehingga RM400,000 setiap kali memasukkan wang ke dalam akaun syarikat berkenaan, menjadikan jumlah pelaburan saya mencecah RM1.2 juta,” katanya. 

Beliau yang kecewa selepas menyedari tertipu membuat laporan polis terhadap syarikat berkenaan, bagaimanapun sehingga kini gagal mendapatkan semula wang yang dilaburkan itu. 

Sementara itu, seorang pelabur yang dikenali sebagai Ati, 29, berkata dia membuat pinjaman bank sebanyak RM41,000 untuk menyertai skim cepat kaya dan kini perlu membayar RM480 sebulan bagi menjelaskan hutang itu. 
Beliau berkata, ‘upline’nya berjanji pinjaman banknya boleh dilangsaikan dalam masa tujuh bulan jika berjaya mencari lima ‘downline’, sekali gus boleh mendapat keuntungan. 

“Saya dalam usaha mencari pendapatan tambahan ketika itu dan keuntungan lumayan yang dijanjikan syarikat itu ditambah bukti yang ditunjukkan ‘upline’ lain seperti penyata bank dengan pendapatan melebihi lima angka sebulan meyakinkan saya,” katanya. 

Ati berkata beliau mula rasa ditipu apabila seorang kawan yang menyertai skim itu menyatakan lesen perniagaan syarikat terbabit sudah tamat tempoh pada 14 Jun lalu apabila diperiksa di laman web Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). 

Penipuan yang dilakukan skim terbabit membawa kepada kewujudan kumpulan di laman sosial Facebook, iaitu Gerakan anti-Friends Club yang mempunyai 10,746 pengikut setakat malam tadi. Kumpulan terbabit dibentuk orang ramai yang mendakwa menjadi mangsa penipuan skim berkenaan dan mahu mendedahkannya. 

Mereka mendakwa empat kumpulan iaitu Friends Club, Family Club, Club Star, dan Super Team bergabung diterajui syarikat MLM (pemasaran berbilang peringkat) yang menjalankan kegiatan menjurus kepada skim cepat kaya. 

Timbalan Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Daud Tahir berkata, sumber risikan kementerian itu mendapati ada syarikat jualan langsung yang dibatalkan lesen kerana penipuan pelan perniagaan muncul semula dengan nama berbeza. 

Pengarah Eksekutif Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), Muhammad Sha’ani Abdullah pula berkata, taktik merekrut downline dengan menjanjikan golongan berpendapatan rendah dan terdesak pulangan berganda dalam masa singkat sering menjadi modus operandi syarikat perniagaan berteraskan pelan perniagaan bertingkat (MLM). 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan