Pengikut

Ahad, 1 Ogos 2010

Anggota skim cepat kaya masih aktif cari ahli

2010/08/02

KUALA LUMPUR: Saki baki anggota sindiket skim cepat kaya yang ditumpaskan di Bandar Sunway, Petaling Jaya dekat sini, Selasa lalu dikatakan masih aktif mencari pelabur baru tanpa menghiraukan amaran pihak berkuasa biarpun ‘orang kanannya’ sudah diberkas. 

Sumber memberitahu Berita Harian, saki baki anggota itu giat mengadakan beberapa sesi perjumpaan memujuk bakal ‘downline’ di sekitar Lembah Klang dalam usaha menghidupkan kembali skim terbabit selain menambah pendapatan mereka.


“Kebanyakan saki baki anggota itu hanya bergantung kepada sumber pendapatan daripada skim terbabit dan disebabkan itu mereka cuba meramaikan lagi ‘downline’ untuk memperoleh imbuhan daripada bakal mangsa yang membuat pelaburan.


“Walaupun, pihak berkuasa sudah menyerbu tempat perjumpaan dan syarikat skim itu, mereka dipercayai mengadakan pertemuan dengan ‘downline’ secara bersembunyi bagi mengelak kegiatan dihidu pihak berkuasa,” katanya di sini, semalam. 

Katanya, saki baki anggota itu dikatakan memperdaya orang ramai dengan menafikan pembabitan mereka dalam sindiket yang ditumpaskan baru-baru ini malah mendakwa skim terbabit sah di sisi undang-undang. 

Selasa lalu, polis menumpaskan sindiket skim itu yang menyasarkan golongan muda berikutan penahanan 100 orang dalam serbuan di empat restoran di Mentari Court, Bandar Sunway dekat sini. 

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa, ketika dihubungi berkata pihaknya masih meneruskan siasatan dan beberapa tangkapan akan dibuat. 
“Kita sedang mengumpul bukti. Dalang utama juga sudah dikenal pasti dan suspek juga dipantau 
bagi mengelak dia melarikan diri,” katanya. 


sumber berita harian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan