Pengikut

Selasa, 3 Ogos 2010

Orang kanan sindiket MLM ditahan

Orang kanan sindiket MLM ditahanOleh Suhana Roslan
suhanaroslan@bharian.com.my
2010/08/04

Lelaki berusia 20-an diberkas di Klang, cop tanda kerajaan turut dirampas 

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dalam lingkungan usia 20 tahun dipercayai antara orang kanan sindiket skim cepat kaya (MLM) yang dilumpuhkan polis selepas serbuan di Bandar Sunway, Petaling Jaya, minggu lalu, ditahan di rumahnya di Klang, Selangor, malam kelmarin.


Lelaki itu dikatakan ahli sindiket skim cepat kaya didalangi seorang gadis yang menyerah diri kepada polis di Ibu Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di Bukit Perdana di sini, kira-kira jam 3 petang kelmarin.




Sumber berkata, lelaki itu ditahan hasil risikan polis selama seminggu dengan kerjasama JSJK Selangor. 

Katanya, gadis dan lelaki itu direman selama empat hari bermula semalam bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. 

Jika disabitkan kesalahan, kedua-dua suspek boleh dipenjarakan maksimum sepuluh tahun dan sebat dan boleh didenda. 

“Hasil serbuan ke rumah suspek di Klang, kami turut menemui cop tanda kerajaan dipercayai digunakan untuk memproses surat pinjaman pelanggan mereka,” katanya di sini, semalam. 
Berita Harian semalam melaporkan, bekas kakitangan kerajaan yang juga wanita ikon skim cepat kaya menyerah diri selepas pergerakannya dipantau polis sejak seminggu lalu. 

Gadis itu diintip sejak Selasa minggu lalu, selepas polis menumpaskan satu sindiket skim cepat kaya yang sedang mengumpul ahli baru dalam serbuan di Bandar Sunway, Petaling Jaya. 

Sindiket skim itu menyasarkan golongan muda berikutan penahanan 100 orang dalam serbuan berkenaan di empat restoran di Mentari Court, Bandar Sunway. 

Dalam serbuan itu, polis turut merampas 17 kereta mewah termasuk jenis Mercedes Benz, Nissan Fair Lady, BMW dan Mazda yang disyaki dijadikan umpan untuk menarik orang ramai menyertai skim itu. 

Polis turut menyerbu sebuah syarikat jualan langsung di Jalan Teng Kat Tong Shin, Bukit Bintang, Jumaat lalu. 

dan menyoal siasat pengurus besarnya berusia 40-an berhubung pembabitan syarikat berkenaan dalam skim berkenaan. 




Tiada ulasan:

Catat Ulasan