Pengikut

Isnin, 2 Ogos 2010

Wanita miliki aset RM10 juta disyaki dalang sindiket skim cepat kaya



KUALA LUMPUR: Selepas kira-kira seminggu diintip, gadis yang dikenal pasti mendalangi satu sindiket skim cepat kaya dan mengumpul harta lebih RM10 juta menyerah diri kepada polis, petang semalam.

Difahamkan, suspek berusia 20-an itu menyerah diri di ibu pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di Bukit Perdana di sini, kira-kira jam 3 petang ditemani peguamnya.
Suspek kemudian diserah kepada bahagian siasatan JSJK untuk merekodkan keterangannya berhubung pembabitan dalam skim berkenaan.

Ketua Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa yang dihubungi petang semalam mengesahkan gadis itu sudah menyerah diri.

“Siasatan sedang dijalankan dan hasilnya akan diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk menentukan tindakan susulan terhadapnya,” katanya kepada Berita Harian.

Gadis itu diburu sejak Selasa minggu lalu, selepas polis menumpaskan satu sindiket skim cepat kaya yang sedang mengumpul ahli baru dalam serbuan di Bandar Sunway, Petaling Jaya.
Sindiket skim itu dikatakan mensasarkan golongan muda berikutan penahanan 100 orang dalam serbuan berkenaan di empat restoran di Mentari Court, Bandar Sunway dekat sini.

Dalam serbuan jam 11 malam itu, polis turut merampas 17 kereta mewah termasuk jenis Mercedes Benz, Nissan Fair Lady, BMW dan Mazda yang disyaki dijadikan umpan untuk menarik perhatian orang ramai menyertai skim itu.

Susulan kejayaan itu, polis turut menyerbu sebuah syarikat jualan langsung di Jalan Tengkat Tong Shin, Bukit Bintang, Jumaat lalu dan menyoal siasat pengurus besarnya berusia 40-an berhubung pembabitan syarikat berkenaan dalam skim berkenaan.

Sementara itu, Rohaimi berkata, 16 individu dipercayai ‘orang paling kanan’ skim itu yang direman sejak Rabu minggu lalu, sudah dibebaskan dengan ikat jamin, malam kelmarin.

“Peguam yang mewakili 16 individu terbabit membayar wang ikat jamin mereka. Semua keterangan sudah direkodkan dan walaupun dibebaskan, polis tetap memantau pergerakan semua ‘upline’ skim itu.

SUMBER BERITA HARIAN
“Saya menasihatkan orang ramai yang menjadi mangsa skim ini supaya membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan