Pengikut

Isnin, 31 Januari 2011

Sudut ilmu : Membongkar keusahawanan Cina tua

Buku ini membongkar kisah kehidupan seorang lelaki Cina tua yang lebih dikenali sebagai Apek. Kehidupan seorang Apek sentiasa meniti dari mulut ke mulut di kalangan masyarakat Malaysia. Apek mempunyai kehebatan tersendiri yang mempersonakan sesiapa sahaja yang mengenali mereka.
Membongkar keusahawanan Cina tua
Meskipun kehidupan Apek sering diperkatakan, namun kisah kehidupan Apek begitu sukar didapati dalam bentuk pembacaan atau dengan erti kata lain dibukukan. Buku ini diolah dalam bentuk dialog perbualan dengan Apek sendiri.
Ayat-ayat yang digunakan dalam buku ini berbentuk santai dan mudah difahami serta menarik minat sesiapa sahaja yang ingin mengetahui cara-cara bagaimana untuk mengurus kewangan peribadi secara berhemah.Amalan-amalan seharian Apek dikupas khas untuk tatapan pembaca. Melalui buku ini, pembaca akan dibawa untuk menyelami kehidupan Apek yang mementingkan kehidupan bersederhana sehingga menjadikannya seorang yang kaya raya.

Kehidupan yang kaya raya tidak menjadikan Apek bermewah-mewah dalam berbelanja tetapi menyedarkannya lagi untuk hidup lebih bersederhana. Dengan kekayaan yang ada, Apek mampu memiliki apa sahaja, tetapi beliau lebih mengemari dan memilih kehidupan bersederhana.Jarang sekali kita lihat orang yang kaya raya menjalani kehidupan yang sederhana tanpa bermewah-mewah. Inilah keistimewaan Apek yang mengatur kehidupannya mengikut keutamaan bukannya mengikut hawa nafsu dalam berbelanja.

Pelbagai teknik untuk mengurus kewangan peribadi dinyatakan dengan jelas dan lebih praktikal berbanding sekadar menyatakan secara teoritikal yang mungkin mudah untuk didengar tetapi sukar untuk diamalkan.Sinonim dengan amalan kehidupan bersederhana, teknik-teknik mengurus kewangan peribadi yang diamalkan oleh Apek menjadi antara kekuatan utama buku ini. Buku ini juga menyingkap sikap terlalu mahu cepat kaya di kalangan masyarakat kita sehingga terjebak dengan pelbagai skim penipuan kewangan.Bersama-sama dengan teknik-teknik mengurus kewangan peribadi secara berhemah, buku ini juga memperkatakan skim cepat kaya dan pelbagai teknik penipuan kewangan.

Tidak lengkap bagi sesebuah buku motivasi kewangan jika tidak membincangkan strategi-strategi pelaburan dan kewangan. Ini kerana strategi-strategi pelaburan dan kewangan yang tepat akan memberi kita kelebihan untuk meningkatkan pendapatan kita.Kita sering kali mengeluh tidak cukup wang, namun kita tidak sedaya upaya untuk memahami strategi-strategi pelaburan dan kewangan. Ilmu kewangan merupakan satu seni dalam kehidupan. Ia mustahil dapat diamalkan tanpa adanya pengetahuan yang mendalam mengenainya. Pengetahuan inilah akan membantu kita menggunakan strategi-strategi pelaburan dan kewangan yang tepat dalam menggandakan wang. Ia memerlukan usaha dan juga ilmu pengetahuan.

Buku ini amat sesuai untuk generasi muda yang masih terkapai-kapai dalam mengurus kewangan peribadi mereka. Menurut rekod Jabatan Insolvensi Malaysia bagi tempoh 2005-2010 (selama lima tahun) sebanyak 83,389 kes kemuflisan dan 1,046 kes daripadanya melibatkan golongan muda berusia bawah 25 tahun.Berdasarkan jumlah kemuflisan ini, masyarakat Malaysia terutamanya generasi muda tidak boleh tidak, wajib mempelajari dan mendalami ilmu mengurus kewangan peribadi. Dengan cara mendalaminya, barulah mereka dapat mengurus kewangan secara mantap dan seterusnya mengecapi kebebasan kewangan yang diidam-idamkan oleh sesiapa sahaja.Di samping Rahsia Kekayaan Apekberorientasikan pengurusan kewangan peribadi, rahsia perniagaan yang diamalkan oleh Apek juga dibincangkan dalam buku ini. Amalan-amalan inilah yang menjadikan perniagaan Apek berkembang maju sehingga dapat diwariskan untuk anak-anaknya.

Bukan sekadar berniaga untuk sesuap nasi, sifat keusahawanan Apek berorientasikan masa hadapan menjadi kekuatan kepada perniagaannya untuk berkembang maju. Penat- lelah beliau akhirnya terbalas apabila mempunyai sebuah perniagaan yang berdaya maju dan dikenali ramai.Buku ini patut dibaca oleh sesiapa sahaja tidak kira sama ada ahli perniagaan mahupun bekerja makan gaji. Secara keseluruhannya, buku ini merupakan satu keperluan untuk semua lapisan masyarakat yang berkeinginan besar untuk keluar daripada belenggu kewangan peribadi dan mencapai kebebasan kewangan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan