Pengikut

Jumaat, 11 Februari 2011

Skim pelaburan ternakan tipu mangsa RM11.4 juta

by SAY NO to MLM on Wednesday, 02 February 2011 at 13:36

Polis terima 84 laporan rakan kongsi dakwa tak terima hasil

Awas!! Pelaburan Palsu

KUALA LUMPUR: Pegawai tinggi kerajaan, kakitangan swasta dan selebriti adalah antara ribuan pelabur yang menjadi mangsa penipuan skim pelaburan ternakan seperti cacing, lintah dan lembu dengan kerugian RM11.4 juta sepanjang 11 bulan tahun ini.

Menggunakan nama ‘skim projek pembangunan usahawan’, penganjur menjanjikan pulangan lumayan antara 20 hingga 50 peratus sebulan bergantung kepada nilai pelaburan individu yang kononnya menjadi ‘rakan kongsi’ bagi projek penternakan diusahakan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan, berkata sepanjang Januari hingga November 2010, pihaknya menerima 84 laporan berhubung penipuan pelaburan penternakan menyerupai skim cepat kaya.

Katanya, selain cacing, lintah dan lembu, pelabur diperdayakan dengan skim pelaburan burung layang-layang, sarang burung serta bukan bersifat ternakan seperti emas dan prabayar.

“Mereka yang menjadi mangsa bukan saja penduduk luar bandar, malah di bandar besar termasuk pegawai kerajaan, swasta dan golongan artis yang dijanjikan pulangan lumayan setiap bulan iaitu 20 hingga 50 peratus daripada nilai pelaburan.
Salah satu penipuan perlaburan kambing

“Bagaimanapun, selepas beberapa bulan tidak mendapat pulangan seperti dijanjikan, barulah mereka sedar sudah diperdayakan penganjur skim terbabit,” katanya kepada Berita Harian.
Bagaimanapun, Syed Ismail berkata, jumlah kes yang dilaporkan tahun ini berkurangan lebih separuh berbanding tahun lalu, dipercayai kerana orang ramai lebih berhati-hati serta membuat semakan selepas banyak kes seumpamanya dilaporkan media.

“Sepanjang 2009, sebanyak 170 kes dilaporkan kepada JSJK di seluruh negara dengan keseluruhan kerugian RM31.8 juta dan jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding tahun ini yang menunjukkan penurunan ketara,” katanya.

Syed Ismail berkata, sebarang laporan berhubung kes berkenaan, pihaknya menjalankan siasatan sama ada mempunyai unsur jenayah atau perlu dirujuk kepada Bank Negara Malaysia (BNM) jika berlaku aktiviti pengambilan deposit secara haram atau melanggar peraturan Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 (BAFIA).

Katanya, sehingga ini beberapa individu sudah didakwa di mahkamah selain ada yang masih dalam siasatan serta dirujuk kepada pihak berkaitan termasuk BNM, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
Salah satu penipuan perlaburan ikan kelisa

Awal tahun ini, SSM mendedahkan kira-kira 50,000 pelabur kerugian lebih RM100 juta kerana menyertai pelaburan penternakan cacing, lintah, sarang burung layang-layang, lembu dan kafe ala kopitiam di seluruh negara sejak dua tahun lalu.

Penganjuran skim berkenaan didalangi syarikat yang berdaftar dengan SSM tetapi menyalahgunakan lesen perniagaan masing-masing bagi meraih keuntungan mudah dengan memperdayakan pelabur untuk menyertai skim ‘projek pembangunan usahawan’.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan